Saturday 26 May 2012

Daftar Kata Sosiolinguistik




1. Lingua Franca = bahasa yang terdapat dalam kawasan pertembungan bahasa yang intensif yang digunakan    oleh penutur -penutur sebagai bahasa komuniti.


2. Bahasa Arkiak = bahasa kuno yang telah mati & tidak berkembang lagi


3. Bilingualisme = seseorang yang mengetahui dan menguasai 2 bahasa dan mengamalkannya.


4. Dwiglosia / diglosia = penggunaan 2 bahasa yang berlainan 


5. Poliglosia = kepelbagaian bahasa, dialek & laras bahasa


6. Sosiolinguistik = kajian tentang bahasa yang berkaitan dengan masyarakat.


7. Bahasa inklusif = bahasa utama


8. Multilingualisme = bahasa yang pelbagai dalam sesebuah negara


9. Sosiologi = kajian berkenaan masyarakat


10. Linguistik = ilmu pengetahuan yang mengkaji berkenaan bahasa

Sunday 6 May 2012

Hamba Rokok

Situasi 40



  Saya sebenarnya seorang perokok yang boleh disenaraikan dalam kategori tegar selama beberapa tahun. Walau bagaimanapun, saya bersyukur ke hadrat Ilahi kerana telah membuka hati untuk menghentikan amalan buruk ini. Sekarang sudah lebih 4 bulan saya menikmati kehidupan tanpa diemani 'rakan baik' saya suatu ketika dahulu. Kehidupan tanpa ditemani rokok lebih menyeronokkan berbanding dahulu. Tidak dapat dinafikan ramai perokok yang sudah berhenti kembali mengamalkan aktiviti tidak berfaedah ini. Keadaan ini menyebabkan saya khuatir tentang ketahanan saya untuk terus tidak merokok. Saya berharap dan berdoa agar saya diberi kekuatan untuk menempuh hasutan-hasutan untuk kembali merokok.

  Isunya di sini adalah bagaimana manusia dikuasai oleh nikotin yang merosakkan kehidupan. Kenapa perokok tegar sukar untuk berhenti merokok? Pada pendapat saya, apabila minda telah dikuasai nikotin, maka minda telah diset untuk mengatakan bahawa "saya tidak boleh hidup tanpa rokok". Apabila kita dikuasai oleh ayat ini, maka amat sukar untuk berhenti merokok walaupun mencuba pelbagai jenis ubat. Minda dan kekuatan menahan nafsu merupakan cara yang terbaik untuk membantu perokok tegar menghentikan amalan buruk itu. Jadi sikap "saya tidak boleh hidup tanpa rokok" perlulah ditukar kepada "aku boleh berhenti merokok". Entri ini bukan untuk saya merasa bangga diri kerana telah berhenti merokok tetapi hanya ingin berkongsi pengalaman sewaktu menjadi erokok tegar dan pengalaman hidup tanpa rokok.






Friday 4 May 2012

"Golden Legam "

Situasi 39




Hari ini saya ke Kolej Harun Aminurrashid untuk mengambil bahan tugasan individu. Bergegas saya ke sana kerana rakan saya,Kaswadi Kamarudin ingin keluar berjalan-jalan bersama kekasihnya. Rumah Kaswadi berada di tingkat 8 dan memerlukan saya untuk menaiki lf. Semasa berada di dalam lif, saya terdengar dua orang sahabat sedang berbual. Saya memandang mereka kerana kedudukan saya berada di belakang mereka. 

Si Polan A: Hari ni main bola ke?
Si Polan B: Ye la. Aku ade game ngan team Golden Fc. Budak-budak India mane tah.
Si Polan A: Pergh! Name team nak sedap. Golden Fc tu. Hahaha!
Si Polan B: Tu la pasal. Golden apenye, legam ade la. Hahaha!
Si Polan A: Hahaha!



Saya tersengih bukan kerana lawak tetapi tersengih disebabkan masyarakat kita pada hari ini masih lagi mangata atau mengutuk kaum lain. Sekiranya terdapat kaum India di dalam lif tersebut, saya dapat rasakan bagaimana perasaannya. Kemungkinan untuk berlaku pergaduhan juga besar. Saya terfikir, walaupun Si Polan-Si Polan itu merupakan pelajar universiti yang telah mendapat didikan yang sempurna, mengapa perkara ini masih lagi berlaku? Kempen perpaduan juga bersepah dari utara hinggalah selatan, tetapi kes ini tetap berlaku. Apakah mekanisme baru perlu difikir oleh pihak kerajaan selain slogan 1 Malaysia? Sama-samalah kita renungkan.

Bahasa Rempit???

Situasi 38


Hari ini saya telah terbaca sebuah blog yang menceritakan perihal penggunaan bahasa rempit. Sebenarnya juga, ini bukanlah kali pertama kali saya mendengar bahasa rempit. Jadi, untuk memperjelaskan lagi permasalahan in, saya membaca kisah yang ditulis oleh penulis blog tersebut. Mengikut tuan punya blog itu, bahasa rempit adalah seperti adalah ejaan yang dieja berlainan daripada ejaan asal seperti ‘lew’, ‘kew’, ‘jew’, ‘niew’, ‘kitew’ dan banyak lagi.


Ulasan Saya


Dewasa kini, penggunaan bahasa sebegitu semakin merebak, terutamanya dalam kalangan remaja. Mereka berpendapat, penggunaan bahasa seperti itu menunjukkan diri mereka lebih hebat dan tidak terkongkong dengan bahasa Melayu. Sudah terang-terangan bahawa bahasa itu melambangkan identiti kita. Jika rosak bahasa yang kita gunakan, maka bangsa juga akan rosak. Janganlah kita mencemarkan bahasa Melayu kerana diri kita juga adalah orang Melayu yang penuh dengan budaya yang sopan dan berhemah. Masyarakat perlu tahu bahawa sopan dan berhemah bukan sahaja ditonjolkan oleh perbuatan, tetapi dapat ditonjolkan melalui percakapan dan penggunaan bahasa harian kita. Justeru, marilah kita bersama-sama memartabatkan bahasa Melayu.

Media Penting dalam mengangkat Bahasa Melayu

Situasi 37 




Media elektronik dan cetak berperanan penting dalam mengangkat martabat bahasa Melayu serta pematuhan kepada dasar penggunaannya sebagai bahasa kebangsaan seperti termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Penyandang Pertama Kursi Pengajian Melayu Kerajaan Malaysia di Universiti Beijing, China, Prof. Dr. Awang Sariyan berkata, media merupakan tunjang utama dalam pelaksanaan dasar bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di negara ini. Menurutnya, peranan itu boleh dilakukan dengan memastikan bahasa yang digunakan dalam penerbitan dan penyiaran berita adalah tepat dan sempurna serta mengambil kira kesantunan. 

Usaha peneguhan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan adalah tanggungjawab semua pihak termasuk pengamal media kerana secara amnya golongan ini menggunakannya secara meluas sebagai alat berkomunikasi dengan masyarakat. Komitmen ini perlu ketika penggunaan bahasa rojak atau bahasa pasar semakin berleluasa di kalangan masyarakat Malaysia sehingga menyebabkan bahasa kebangsaan itu terus dipinggirkan.


Beliau berucap pada Wacana Ilmu: Santun Berbahasa di Dewan Cendekiawan, Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) pada 14 Februari 2011.  Majlis itu bertemakan 'Isu-isu keterampilan bahasa dalam komunikasi rasmi' dengan memberi pendedahan kepada pengamal media mengenai perkembangan bahasa terutama yang melibatkan aspek hukum, nahu dan tata bahasa dalam situasi rasmi serta tidak rasmi. Awang berkata, peranan tersebut seharusnya dipikul oleh semua pihak, termasuk media kerajaan dan swasta kerana ia menjadi tanggungjawab bersama dalam usaha memperkasakan bahasa kebangsaan. 

Pihak media tidak harus menjadikan cabaran-cabaran di peringkat global dan komersial sebagai alasan untuk menggunakan bahasa Melayu secara betul. Ini kerana, bahasa lain termasuk bahasa Inggeris digunakan dengan betul sama ada dalam berita mahupun tajuk, jadi pematuhan kepada hukum bahasa Melayu itu sepatutnya diamalkan. Jelasnya, penggunaan aspek kesantunan dalam bahasa kebangsaan harus dijadikan budaya bagi masyarakat di Malaysia.