Sunday, 29 April 2012

Peranan DBP dalam Bahasa Melayu

Situasi 36



Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) atau nama asalnya Balai Pustaka merupakan sebuah jabatan kerajaan Malaysia yang ditubuhkan pada 22 Jun 1956 .  DBP ditubuhkan pada mulanya sebagai sebuah jabatan kecil di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia di Johor Bahru, Johor Darul Takzim bertujuan untuk mengembangkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan  dan bahasa rasmi negara yang akan memperoleh kemerdekaan tidak lama lagi pada ketika itu. Walaubagaimanapun, DBP pada asalnya dikenali dengan nama Balai Pustaka.
            Setelah berlangsungnya Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu III di Singapura dan Johor Bahru pada 16 hingga 21 September 1956, Balai Pustaka telah ditukarkan kepada nama Dewan Bahasa dan Pustaka hasil persetujuan bersama dalam kongres tersebut. Selain itu, DBP juga dinaik taraf menjadi sebuah badan bebas yang mempunyai anggota lembaganya yang tersendiri.

 Pada tahun 1957, DBP telah memindahkan pusat pentadbirannya dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur yang mana ketika itu ibu pejabatnya merupakan bekas wad sebuah hospital di Jalan Young. Melalui Ordinan Dewan Bahasa dan Pustaka 1959, DBP sekali lagi telah dinaik taraf menjadi sebuah badan berkanun. Sehubungan dengan penaikan taraf yang diberi, DBP telah diberi kuasa autonomi dalam beberapa bidang antaranya:
i.            Menggubal dasarnya yang khusus.
ii.           Menyusun rancangan pembinaan dan pengembangan bahasa dan sastera.
iii.         Menjalankan kegiatan penerbitan dan perniagaan buku yang serupa dengan sektor swasta.




Terdapat 6 matlamat penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka sepertiyang tercatat dalam Akta DBP (semakan tahun 1978 pindaan dan perluasan 1995) iaitu:
i.           Untuk membina dan memperkaya bahasa kebangsaan (Bahasa Melayu) dalam semua bidang termasuk sains dan teknologi.
ii.           Untuk memperkembang bakat sastera khususnya dalam bahasa kebangsaan.
iii.    Untuk mencetak atau menerbitkan atau membantu dalam percetakan atau penerbitan buku-buku, majalah-majalah, risalah-risalah dan lain-lain bentuk kesusasteraan dalam bahasa kebangsaan dan dalam bahasa-bahasa lain.
iv.        Untuk membakukan ejaan dan sebutan serta membentuk istilah-istilah kata yang sesuai dalam bahasa kebangsaan.
v.        Untuk menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan yang betul.
vi.     Untuk menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan supaya ia akan digunakan secara meluas bagi segala maksud mengikut undang-undang yang sedang berkuatkuasa.








Friday, 27 April 2012

Mat Bangla yang berbahasa Melayu

Situasi 35





Pada hari Ahad yang lalu, saya bersama seorang rakan telah pergi ke sebuah kedai mencuci kenderaan untuk membasuh motosikal saya. Semasa pekerja kedai itu mencuci motosikal saya, saya telah mengambil kesempatan untuk berbual dengan pekerja kedai tersebut, yang merupakan warganegara Bangladesh.


Antara dialog yang saya bualkan bersama pekerja tersebut ialah :


Saya : sudah berapa lama kerja sini?

Pekerja : sikit hari, sikit tahun sudah

Saya : ouh dah berapa tahun?

Pekerja : 3 tahun, 4 tahun, 7 tahun la

Saya : 7 tahun? Tak balik Bangladesh ke?

Pekerja : itu macam, sikit tahun 10 tahun balik la.

Saya : belajar dengan siapa bahasa Melayu?

Pekerja : belajar sendiri-sendiri la, duduk sini tahu cakap itu cina, itu tamil baru boleh kija (kerja). Susah la mau hidup sini tempat kalu tada(tak) tau cakap itu punya.



ULASAN :


Apabila saya berbual dengan pekerja warga Bangladesh tersebut, dia berasa bangga apabila berupaya menuturkan bahasa Melayu dan dia menganggap bahasa Melayu ini mudah untuk dikuasai dan difahami. Namun dari apa yang saya dengar,lihat dan teliti dari aspek fonologi dan sintaksis, ternyata bahasa Melayu yang diucapakan oleh pekerja Bangladesh tersebut hanya sekadar bahasa pasar dan bukannya menggambarkan tahap penguasaan bahasa Melayu yang sebenar. Pekerja tersebut tidak berupaya menggunakan sebarang imbuhan dalam percakapannya malahan juga terdapat kekaburan subjek, predikat dan objek dalam pertuturannya. Saya merumuskan bahawa pekerja Bangladesh tersebut seorang yang kurang cerdik akalnya kerana menganggap dirinya sudah menguasai bahasa Melayu dengan baik dan bagus, sedangkan dia belum lagi memasuki lorong-lorong bahasa Melayu yang berliku dan penuh ranjau ini.

Bahasa Rojak lagi...

Situasi 34



Bahasa rojak boleh didefinisikan sebagai bahasa campuran antara bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris. Biasanya penggunaan bahasa rojak sama ada menggunakan bahasa Inggeris diantara bahasa Melayu dalam ayat atau separuh bahasa Melayu dan separuh bahasa Inggeris.

Contoh perbualan yang biasa didengar ialah : 

“Ada meeting tak malam ni”

“entahlah, aku pun tak sure”

“try lah tanya orang lain”


Namun begitu, terdapat beberapa perbincangan menarik antara kebaikan dan keburukan penggunaan bahasa rojak ini. Memang tidak dapat dinafikan bahawa penggunaan bahasa rojak mendatangkan kemudahan bagi masyarakat yang menuturnya. Bagi masyarakat majmuk seperti masyarakat di negara kita, penggunaan bahasa rojak dikatakan relevan dengan penguasaan bahasa mereka. Contohnya, bagi masyarakat Cina dan India, mereka lebih selesa menggunakan bahasa Melayu rojak berbanding bahasa Melayu standard kerana penggunaan bahasa Melayu rojak tersebut lebih memudahkan mereka dalam urusan seharian.

Contohnya seperti : 

“aiyaa, you bikin ini macam kasi wa manyak susah lo”

“itu rules tak betul punyalah”


Masyarakat Melayu dilihat sering menggunakan bahasa rojak dalam percakapan seharian mereka. Penggunaan bahasa Melayu rojak ini akan dianggap hebat dan mengikut perkembangan semasa jika dituturkan dalam berkomunikasi. Jika keadaan ini berterusan, pastinya jati diri bahasa Melayu akan luntur sedikit demi sedikit dan tidak mustahil bahasa Melayu ini akan dianggap sebagai bahasa picisan dan tiada nilainya sedangkan penutur yang bertutur dalam bahasa Melayu menduduki tempat ke-empat paling tinggi di seluruh dunia.

Biarpun bahasa Inggeris semakin meningkat penggunaanya, tetapi masyarakat Melayu haruslah sedar bahawa hanya kita boleh membuatkan bahasa Melayu setaraf dengan bahasa Inggeris diperingkat antarabangsa mahupun peringkat seterusnya. Sikap saling tegur menegur dan bantu membantu dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu sangatlah penting dan perlu dilaksanakan secara konsisten oleh pihak kerajaan, badan bukan kerajaan(NGO) dan juga masyarakat penutur itu sendiri.

Lain Padang Lain Belalang

Situasi 33



Saya tertarik untuk menghuraikan pengaruh budaya dalam pertuturan seharian, secara spesifiknya kepada cara beberapa individu yang berbeza ketika menyapa atau mengajak saya untuk pergi makan.

Pastinya dalam pergaulan seharian biasanya bahasa yang digunakan tidaklah gramatis atau mengikut segala peraturan yang tercatat dalam kitab-kitab tatabahasa Melayu namun cukuplah sekadar sapaan itu bersifat mesra dan mudah difahami sesama sendiri serta mengikut kesesuaian masa dan ukuran usia.

Berikut merupakan beberapa sapaan yang sempat saya catatkan di sini;

"Woi, dah makan?"

"Makan jom!"

"Jom melantak dulu."

"Makan sudah kau?"

"Tak nak makan dulu ke?"

"Makan belum?"

Kalau dilihat ayat-ayat yang digunakan di atas tidaklah gramatis bahasanya. Berlaku pelbagai pengguguran kata serta mungkin agak kasar bunyinya. Selain itu istilah-istillah dalam bahasa slanga juga kerap digunakan. Akan tetapi, tujuan dan maknanya hanya satu, iaitu untuk mengajak seseorang untuk menjamu selera. Mungkin dalam bahasa formal dan betul sepatutnya berbunyi begini;

"Awak sudah makan atau belum? Sudikah awak untuk makan bersama kami?"

Namun sesiapa yang bertutur seperti begitu pasti akan diketawakan. Jadi dapat disimpulkan di sini bahawa dalam pertuturan makna lebih penting mengatasi peranan kegramatisan bahasa dari sudut morfologi dan sintaksis. Penggunaan bahasa yang bersifat slanga ini haruslah bersesuaian dengan lingkungan umur dan budaya penuturnya. Jika tidak kita mungkin akan dilabel sebagai kurang ajar dan sebagainya.

Sunday, 22 April 2012

Kurang Ajar Part II

Situasi 32  

   Kisah ini turut berlaku pada hari yang sama selepas perlawanan Kelantan menentang Kedah tetapi kali ini situasi dan tempatnya pula adalah berbeza. Kali ini bukti masyarakat Melayu makin kurang kesantunan dan nilai murni dalam kehidupan seharian dapat dilihat dengan jelas pada individu tersebut. Individu tersebut bukanlah mempunyai usia yang muda tetapi mungkin sudah menjangkau usia lewat 30-an atau awal 40-an mungkin juga 50-an.

   Ketika itu,saya bersama dengan beberapa rakan ke kedai mamak untuk menonton perlawanan liga Sepanyol antara Real Madrid dan Barcelona pada malam itu. Seperti biasa ketika semua orang sibuk memberi perhatian pada perlawanan tiba-tiba sahaja semua orang dikejutkan oleh suara yang menengking yang kuat. Rupa-rupanya kejadian tersebut tidak jauh dari meja saya. Seorang lelaki yang bukan lagi muda remaja bersama geng-gengnya yang selayaknya sudah menjadi pengunjung tetap surau bukannya melepak seperti orang muda pada jam 2 3 pagi telah memarahi pekerja restoran dengan hinaan dan cacian yang diselangi dengan kata-kata kesat.

   Individu tersebut memarahi pekerja restoran itu kerana sibuk mengelap meja supaya lebih bersih dan kemas berbanding mengikut arahannya supaya mengangkat pinggan dan cawan di atas meja dengan kadar yang segera. Bayangkanlah pekerja tersebut pada pandangan saya kelihatan lebih tua daripada individu tersebut tetapi individu tersebut langsung tidak menghormati nya dan juga tanpa segan -silu menghamburkan kata-kata yang kesat seperti bodoh,sial, anjing dan sebagainya.

   Saya yang melihat berasa amat marah tetapi terkilan kerana tidak mampu untuk melakukan apa-apa. Saya cuma mampu berdoa semoga suatu hari nanti individu tersebut akan ke kedai yang mempunyai pekerja yang berperangai sama sepertinya. Barulah buku akan bertemu dengan ruas ketika itu. Sekian.




Kurang Ajar Part 1

Situasi 31


   Sewaktu saya menonton perlawanan separuh akhir pertama Piala FA antara Kedah dan Kelantan di Restoran Fajar berdekatan dengan rumah saya di Tanjung Malim, telah berlaku satu kejadian yang memalukan. Pada mulanya keadaan sangatlah baik dan terkawal disebabkan setiap meja dipenuhi dengan para penyokong terutama penyokong Kelantan boleh dikatakan menguasai kedai tersebut cuma beberapa meja sahaja yang terdiri daripada penyokong Kedah.

   Disebabkan orang yang terlalu ramai pada malam itu, makanya apabila kita memesan makanan atau minuman sudah tentulah masa yang diambil oleh pekerja kedai tersebut untuk menyiapkannya adalah lebih lama daripada biasa. Walaubagaimanapun, terdapat seorang penyokong Kelantan ini sama ada tidak memahami keadaan atau memang agak bangang sejak azali lagi tiba-tiba naik angin disebabkan memesan minuman tetapi masih belum sampai.

   Kejadian ini sungguh memalukan. Dia memarahi pekerja wanita tersebut dalam dialek Kelantan diselangi dengan kata-kata lesat seperti : " oi, dok dengar ko ore royak tadi, baso bengong nate ni, buat kijo pun lambat molek", yang selebihnya saya tidak dapat memahami. Pengajaran disini, jadilah pelanggan yang berfikiran rasional dan bertimbang rasa, saya pada masa tersebut juga masih belum mendapat minuman padahal nasi lemak ayam yang saya makan sudah hampir kehabisan, ditambah pula Kedah menjaringkan gol penyamaan sewaktu saya tengah makan tanpa air ,tiada pun saya atau kawan-kawan saya merungut kerana kami memahami situasi tersebut. Sekian.





Wednesday, 18 April 2012

Pengaruh Bahasa Indonesia di Malaysia

Situasi 30


Kini, pengaruh media massa terutamanya pengaruh 'Drama Indonesia' semakin menjadi-jadi di Malaysia. Akibat daripada pengaruh drama Indonesia, kanak-kanak terutamanya mudah terikut-ikut dengan dialek Indonesia sehingga terbawa-bawa dalam percakapan sehari-harian.


Kadang-kadang, kanak-kanak dan orang dewasa terikut-ikut dengan dialek dan bahasa Indonesia. Antara perkataan yang sering menjadi sebutan mereka ialah:

Bahasa Indonesia                                                Bahasa Melayu

Ngak                                                                       Tidak/Tidak mahu
Ibu                                                                          Puan
Bilang                                                                      Berkata/cakap
Omong-omong                                                        Bercakap
kakek                                                                      kakak/abang



Pakaian perempuan zaman sekarang

Situasi 29


Hari ini saya ingin berkongsi mengenai isu pakaian yang semakin menjadi-jadi kegilaan para remaja.
Semasa menaiki bas menuju ke kampus baru, saya telah terdengar perbualan beberapa orang budak lelaki yang mengumpat pasal cara pemakaian pelajar perempuan yang tidak sopan dan mencolok mata.

Pelajar A: huh....pakaian??Baik tak payah pakai baju terus..
pelajar B: Dia tayang badan suruh kita tengok, kira rezeki la kan?
Pelajar C: Betul, aku setuju. Tapi bila dah berilmu, perangai mengalahkan orang yang tidak berakal.
Selepas itu, mereka ketawa dengan kuatnya. Saya hanya menjadi pendengar yang setia. timbul perasaan malu kepada mereka, kerana disebabkan segelintir pelajar yang berpakaian seperti itu, akibatnya semua dianggap sama. Kata pepatah Melayu "Ibarat Nila Setitik, Rosak Susu Sebelanga".



Ketidakmatangan media di Malaysia

Situasi 28


Masih ingtkah anda peristiwa Tsunami yang melanda Jepun tahun lepas? Di sini saya mempunyai satu isu yang ingin saya bincangkan berkenaan dengan peristiwa tersebut. Lihat lukisan ini.


Penerbitan kartun seperti ini seolah-olah tidak menghormati rakyat Jepun yang sedang dilanda masalah gempa bumi dan juga tsunami. Kartun ini sudah tersebar ke internet dan dikutuk masyarakat dunia. Rosak nama Malaysia di mata dunia. Mengapa kartunis ini perlu mengutuk negara Jepun yang sedang dilanda masalah besar. Sepatutnya, kartunis tersebut perlu menjaga sensitiviti agar negara kita tidak menjadi bahan kutukan masyarakat antarabangsa.

Pelbagai pandangan telah saya dengar mengenai kartun ini. Antaranya, kartun ini bermaksud Ultraman(Jepun yang maju) takut berhadapan dengan tsunami. Walau bagaimanapun, setelah didesak, pihak Berita Harian akhirnya telah memohon maaf kepada Jepun dan seluruh masyarakat dunia tentang kekurangan mereka dalam menapis perkara-perkara sensitif tersebut. Namun, pada pandangan saya, walaupun permohonan maaf telah dilaksanakan, kes ini sudah tersebar dan saya yakin pihak luar akan mengutuk Malaysia.

Dialek kasar orang Terengganu

Situasi 27





Hari ini saya ingin berkongsi sedikit ilmu pengetahuan mengenai istilah bagi perkataan 'Benok, gong dan tolol'

Saya yakin ada segelintir daripada kamu semua faham maksud bagi perkataan tersebut dan ada segelintir daripada kamu semua tidak memahaminya. 

Perkataan 'Benok' atau benak sebenarnya membawa maksud lembap manangkap atau memahami sesuatu. 
Perkataan 'Benok' tidak sama maksudnya dengan perkataan gong dan tolol

Perkataan ini merupakan slanga atau dialek Terengganu terutamanya daerah Besut dan Setiu. 

Mari kita tengok maksud asal perkataan 'Benak' menurut kamus dewan bahasa Melayu.
Dalam kamus dewan 'benak' membawa maksud agak sukar atau lambat utk menerima pelajaran atau sesuatu yg diajarkan; lembap.

Manakala perkataan gong dengan tolol juga membawa maksud yang sama dengan perkataan benak. Tolol dalam kamus dewan bermaksud sangat bodoh; bebal. ketololan sifat atau keadaan tolol; kebodohan; kebebalan. 

Manakala perkataan gong pula membawa maksud agak bodoh atau dungu.

Sunday, 15 April 2012

Kelinik atau klinik?

Situasi 26


Hari ini saya tidak berapa sihat kerana demam selesema.  Saya telah pergi ke klinik untuk mendapatkan ubat. Apabila sampai di klinik, saya terkejut melihat papan tanda di klinik tersebut. Terlebih bakukah sehingga klinik dieja dengan KELINIK.  Namun selepas berfikir sejenak, saya membuat rumusan sendiri dengan beranggapan pemilik permis atau syarikat tersebut berkemungkinan bukan orang Melayu dan mereka ingat ejaan tersebut lebih baku.Jika diteliti dari aspek hukum D-M, papan tanda tersebut sudah betul tetapi kesalahan ejaan mungkin tidak patut berlaku. 


Ada apa dengan angka 8

Situasi 25



   Angka 8 sememangnya sinonim dengan masyarakat Cina. Hal ini kerana, nombor 8 dikatakan dapat membawa tuah kepada seseorang. Oleh yang demikian, mereka akan membeli nombor telefon yang mempunyai digit 8,serta kenderaan seperti motosikal dan kereta yang mempunyai nombor pendaftaran yang turut mempunyai angka 8. Hal ini turut berlaku dalam keluarga saya. Ayah saya juga turut mempunyai ketaksuban dalam memberi kenderaan yang mempunyai angka 8. Malahan dia sanggup membeli nombor pendaftaran khas untuk memenuhi keinginan dirinya bagi mempunyai kenderaan yang mempunyai digit 8 dalam nombor pendaftaran. Ayah saya bukanlah mempercayai nombor tersebut mendatangkan tuah seperti masyarakat Cina sebaliknya dia menyukainya kerana sekiranya terdapat nombor 8 dalam nombor pendaftaran, dia berpendapat ia satu kepuasan kerana nombor 8 sememangnya cantik dan sedap untuk dipandang dan disebut. 


Berikut merupakan senarai kenderaan dirumah saya yang mempunyai angka 8.


Kereta: 
1. PDK 7878
2. PGM 2842
3. WFU 6841
4. JFA 5878


Motosikal
1. PFW 6848
2.PCY8975
3. PCU 281
4.PFF 8441


   Walaupun kelihatan seperti pelik,tetapi kami sekeluarga tidak pernah kisah akan hal tersebut malahan turut memberi dorongan sekiranya mahu menukar kenderaan, carilah kenderaan daripada orang Cina kerana mesti kenderaan yang mereka jual itu pasti mengandungi nombor 8. Sekian. 

Penggunaan tanda sempang (-)

Situasi 24


Dalam papan tanda di atas, apakah kesalahan yang kamu semua nampak? Jika tidak diperhati dengan betul, kita tidak akan menjumpai kesalahan bahasa yang digunakan dalam ayat tersebut.  Kesalahan dari segi kata ganda dan penggunaan sempang dalam bahasa Melayu merupakan sesuatu yang amat penting. Oleh itu, kita sebagai seorang pelajar hendaklah selalu peka mengenai isu-isu tersebut supaya kesalahan kecil dapat diperbaiki. 

Dalam perkataan 'bilik' di atas, penggunaan sempang tidak diletakkan l.Saya dapat merasakan pihak kolej juga tahu mengenai isu kesalahan bahasa Melau ini. Sepatutnya, kesalahan ini hendaklah diperbetulkan dengan segera.

"Bilik bilik" dalam papan tanda di atas hendaklah diletakkan sempang kerana perkataan "bilik bilik" merupakan kata ganda. Sepatutnya penggunaan kata ganda yang betul ialah "Bilik-bilik".
Maksud 'sempang' ialah tanda ~ garis pendek melintang untuk menceraikan suku kata, tanda hubung; dan juga senkang. Sempang juga berfungsi untuk menghubungkan suku kata (kata).

Peribahasa Melayu lama yang dimodenkan

Situasi 23  


 Semasa saya sedang sibuk melayari internet untuk menyiapkan tugasan semalam, saya terjumpa beberapa jenis peribahasa Melayu lama yang telah dimodenkan oleh generasi muda. Berikut merupakan peribahasa Melayu yang telah dimodenkan mengikut peredaran zaman.

  
   Saya bukanlah anti kepada kemajuan atau tidak mahu mengikuti peredaran zaman namun dalam sesuatu perkara yang tertentu kita wajar mempertahankan seni sastera warisan Melayu kita. Mungkin niat individu yang mengubah keindahan peribahasa Melayu yang sedia ada bertujuan untuk membuat lawak tetapi dalam perkara tertentu kita seharusnya serius dan tidak boleh main-main kerana perbuatan sedemikian seakan-akan menghina seni sastera generasi terdahulu. 

Bila bercakap bahasa rojak

Situasi 22




Sebelum cuti, telah berlangsung pembentangan subjek penaksiran. Semasa pembentangan tersebut, salah seorang daripada pembentang telah mengatakan bahawa penggunaan kata sendi ke dan kepada merupakan perkara 'Basic'. Walaupun penggunaan 'Basic' merupakan masalah kecil dalam percakapan seharian, namun jika dibiarkan berterusan, ia akan menjadi kebiasaan dalam kalangan penutur terutamanya penutur dalam kalangan orang Melayu.

  Penggunaan bahasa rojak dalam percakapan seharian pada hari ini menjadi kebiasaan kepada penutur dalam kalangan orang Melayu. Hal yang demikian kerana pengaruh bahasa Inggeris masih kuat dalam diri penutur tersebut. Penggunaan perkataan 'Basic' boleh ditukar kepada perkataan 'Asas'.

lebih baik makan rojak daripada bercakap bahasa rojak

Monday, 2 April 2012

Peribahasa Melayu Kita

Situasi 21

1. Simpulan bahasa

Definisi: Kata-kata ringkas atau rangkaian perkataan yang dirumuskan dalam susunan tertentu yang membawa maksud tertentu. Hal ini bermakna terdapat makna yang tersirat dalam setiap perkataan yang digunakan.

Contoh :  (i) ada angin : berperangai luar biasa pada masa-masa tertentu.
              (ii) anak buah : anak saudara , orang yang berada di bawah pengawasan seseorang ketua
              (iii) buah tangan : hasil usaha, hadiah atau barang yang dibawa pulang daripada perjalanan.

2. Perumpamaan

Perumpamaan ialah kata dalam sesuatu ayat yang memberikan makna khas dan berlainan daripada apa yang diguna atau ditulis atau membandingkan sesuatu benda dengan benda yang lain.

Contoh: (i)  seperti kelopak pandan : keelokan paras seseorang perempuan.
             (ii) seperti gajah masuk kampung : bertindak sesuka hati.
              (iii) genggam api biar sampai jadi bara : melakukan sesuatu kerja dengan bersungguh-sungguh.

3. Pepatah

Pepatah ialah susunan bahasa yang mudah "melekat di mulut" dan menjadi sebutan yang dihayati.

Contoh
: (i) Ada  padang ada belalang,ada air ada ikan, ada batang mati,adalah cendawan tumbuh :
                  setiap kawasan atau tempat mempunyai adat resamnya sendiri.

   (ii) Harimau mati meninggalkan belang, gajah mati meninggalkan gading, manusia mati meninggalkan  nama.
          : seseorang yang meninggal dunia kelak akan meninggalkan nama yang baik atau buruk.

4. Bidalan

Bidalan ialah bahasa kiasan yang digunakan untuk melahirkan fikiran yang tajam,tepat,mengandungi perbandingan,teladan,[pengajaran,nasihat dan kata-kata hikmat.

Contoh:
 (i) biar lambat asalkan selamat.
(ii) Alur bertempuh ,jalan bertempuh.
(iii) Berani menjual berani membeli.
(iv) Ingat sebelum kena,jimat sebelum habis.

sumber : Kamus Peribahasa Oxford Fajar